This is an old revision of the document!
Jadual Kandungan
Siri Penahanan Hamid Tuah (1961-1967)
Dirujuk oleh
Ringkasan
“Teluk Gong pernah terkenal pada tahun 1967, apabila penduduk kampung mengadakan demonstrasi menuntut tanah yang mereka teroka menjadi hak milik mereka. Antara yang menjadi pejuang rakyat ketika itu ialah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Sanusi Osman dan Hamid Tuah. Pada 1960-an, tindakan Hamid Tuah dan 500 penduduk-penduduk Melayu miskin yang meneroka tanah hutan di Teluk Gong dikatakan tidak menepati Undang-Undang Tanah kerajaan negeri Selangor. Beliau telah dikenakan tahanan terhad di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Pihak kerajaan tidak membenarkan mereka meneroka tanah milik kerajaan dan telah menghantar pasukan keselamatan untuk menahan petani dan memusnahkan tanaman mereka. Seterusnya menahan Hamid dan empat orang pengikutnya pada 4 Januari 1969, mereka ditahan di kem tahanan Muar dan Batu Gajah selama dua tahun.”
(Sumber: Wikipedia: Teluk Gong).
Kronologi
1961-05-20: Penahanan kali kedua: “Inche Zainuddin (Zainuddin Karim, Setiausaha Parti Rakyat Selangor merangkap Setiausaha Front Socialist Selangor) hari ini berkata bahawa F.S.(Front Socialist) telah memperlihatkan simpati-nya kapada orang2 dari Kampong Sireh itu waktu mereka berpiket bagi kali pertama di-hadapan sekretariat Kerajaan Selangor waktu Hamid Tuah di-tangkap dan di-kurong dalam Penjara di-Pudu. Parti Rakyat, kata-nya telah mengadakan sidang dan mengambil keputusan mengutok penangkapan itu. Hamid Tuah kemudian di-keluarkan dari penjara Pudu tapi di-buang daerah ka-Ulu Bernam. Tindakan buang daerah ini juga telah di-kecham oleh parti kami, kata Inche Zainuddin lagi. Hasil dari simpati Front Socialist dan simpati ra'ayat dalam piket pertama orang2 Kampong Sireh itu, kata Inche Zainuddin lagi, Hamid Tuah kemudian di-bebaskan. Beliau menambah bahawa pehak Front Socialist memang tidak bersimpati dengan piket kali kedua yang di-anjorkan oleh Hamid Tuah “kerana kami sentiasa mempunyai pendirian yang tegas.” Kata-nya: “Kami anggap bahawa piket bukan-lah sa-suatu yang boleh di-main2-kan. Sa-bagaimana mogok menjadi senjata akhir maka demikian juga piket. Piket kedua itu memang tidak perlu di-adakan.” (Berita Harian, 21 May 1961, Page 1: |"F.S. jawab Hamid Tuah").
1967-09-28: Rundingan dengan Dato Harun: “Hamid Tuah akan dibebaskan esok dan perkara 530 orang pengikut2-nya mendudoki sechara haram tanah Kerajaan di-Klang selesai sekarang. Demikian Menteri Besar Selangor, Dato Harun Idris menyatakan hari ini setelah menemui Hamid Tuah. Hamid Tuah telah berjanji akan membawa 530 orang pengikut-nya keluar dari tanah Kerajaan itu di-Telok Gong, 14 batu dari Klang. Hamid Tuah telah di-keluarkan dari Penjara Pudu kira2 dua jam pagi tadi di-iringi oleh anggota2 polis untok menemui Dato Harun di-pejabat-nya. Dato Harun memberitahu sa-lepas pertemuan itu, bahawa Hamid Tuah telah pun berjanji tidak akan melakukan lagi perbuatan saperti itu. … “Ramai di-antara mereka sa-belum datang ka-Telok Gong hanya menumpang pada saudara mara kerana tiada mempunyai tanah sendiri. “Mereka tidak mendapat tanah walaupun telah meminta berkali2 untok memasoki ranchangan tanah.” Kenyataan itu menambah, bahawa berdekatan dengan kawasan yang di-buka oleh Hamid Tuah dan pengikut2-nya ada-lah satu kawasan yang telah di-buka dan di-kerjakan oleh sa-gulongan bukan Melayu sejak kira2 lima tahun dan sudah pun mendatangkan hasil. “Pengikut2 Hamid Tuah yang membuka hanya sa-bahagian daripada tanah sa-luas 1,000 ekar itu, tidak mengusek atau mengancham tanah yang di-dudokki oleh bukan Melayu itu.” Kenyataan itu mensifatkan soal yang di-hadapi oleh Hamid Tuan dan pengikut2-nya sa-bagai “soal ekonomi-sosial nasional yang besar. Soal ini tidak dapat di-atasi sa-mata2 dengan anchaman2 tindakan polis atau menahan orang2 saperti Hamid Tuah.”
Kiri: “Dato Harun… keluar dari pejabat-nya lepas berunding”
Kanan: “Hamid Tuah”
(Sumber: Berita Harian, 30 September 1967, Page 1: |"Soal tanah Telok Gong selesai").
1967-09-30: Hamid Tuah dibebaskan dari Penjara Pudu, selepas ditahan selama 5 hari: “Tepat jam 10.30 pagi ini Inche Hamid Tuah berjalan keluar dari pintu besar Penjara Pudu sa-lepas di-tahan sa-lama lima hari, lalu berikrar akan melupakan segala2 yang telah berlaku dan memulakan suatu penghidupan baharu. … Inche Hamid Tuah di-tangkap pada malam 25 September lalu kerana mengepalai 530 orang mendudoki tanah Kerajaan di-Teluk Gong dekat Klang, sejak 31 August lalu. Semalam Dato Harun memanggil Inche Hamid Tuah ka-pejabat-nya dan mengadakan rundingan sa-lama lebeh dua jam dan sa-lepas itu mengeluarkan perentah membebaskan-nya. Inche Hamid Tuah berkata bahawa Dato Harun telah menjanji-kan suatu kawasan bahru sa-luas 2,000 ekar di-Sungai Yu, Tanjong Karang di-daerah Kuala Selangor sa-bagai ganti tempat sekarang. … Di-Sungai Yu nanti mereka akan di-sertai oleh kira2 170 orang lagi yang sekarang maseh tinggal di-Kampong Sireh. Mereka ia-lah kumpulan yang telah berpiket di-hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor dalam tahun 1960 atas soal tanah juga.” (Sumber: Berita Harian, 1 October 1967, Page 1: |"Hamid tuah keluar jel, janji akan lupakan segala yg telah berlaku").
1967-10-12: Penahanan kali ketiga, bersama pembantunya Haji Yahya bin Zainuddin. Mereka ditangkap ketika terlibat di dalam suatu perhimpunan seramai 530 orang, di Telok Gong, 14 batu dari Klang.
1967-12-29: Sultan Selangor menawarkan pembebasan bersyarat kepada kedua-dua tahanan, sempena hari raya yang bakal menjelang. Syarat-syaratnya ialah mereka tidak dibenarkan keluar dari mukim masing-masing (Damansara dan Tanjung Karang), tidak berucap dalam rapat-rapat umum, atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan akhbar. Tawaran ini ditolak oleh Hamid Tuah, namun diterima oleh pembantunya Haji Yahya. Berikutan itu, Haji Yahya dibebaskan keesokannya (30 Disember 1967), namun pada majlis hari raya bersama penduduk setinggan Telok Gong di berek balai polis Pandamaran pada 3 Januari 1968, beliau didapati masih belum kembali ke pangkuan keluarganya: “Haji Yahya bin Zainuddin, Penolong Hamid Tuah yang mengetuai 530 orang peneroka tanah Kerajaan di-Telok Gong, tidak berhari raya dengan isteri dan anak2-nya pada Hari Raya kelmarin. Isteri dan anak2 Haji Yahya yang sekarang tinggal bersama 150 orang setinggan dari Telok Gong di-barek Polis Pandamaran, tidak tahu ka-mana-kah Haji Yahya pergi. Satu rombongan yang terdiri dari pensharah2, mahasiswa2 Universiti Malaya dan beberapa orang pendudok Petaling Jaya telah membawa makanan dan kueh2 hari raya kepada setinggan2 itu kelmarin. “Tetapi,”, kata sa-orang juruchakap rombongan itu, “isteri Haji Yahya tidak tahu ka-mana-kah suami-nya pergi dan di-mana-kah Haji Yahya berada sekarang.” Juruchakap itu, Syed Hamid Ali, mahasiswa Universiti Malaya memberitahu Berita Harian bahawa isteri dan anak2 Haji Yahya memang menunggu2 ketibaan Haji Yahya. Haji Yahya di-berita-kan telah di-bebaskan dari Penjara Pudu hari Sabtu lalu sa-telah dia menerima dua sharat yang di-kenakan oleh Kerajaan. Sharat tersebut ialah: (1) Tidak boleh keluar dari daerah Tanjong Karang tanpa izin polis sa-lama 3 tahun (2) Tidak boleh memberi uchapan2 di-hadapan khalayak ramai.” (Berita Harian, 4 January 1968, Page 10: |"Haji Yahya tidak berhari raya dengan keluarga").
1968-02-15: Pengumuman permohonan pembebasan Hamid Tuah: “Satu permohonan akan di-buat dalam Mahkamah Tinggi di-sini beberapa hari lagi untok membebaskan Hamid Tuah. Kalau permohonan itu di-luluskan, Hamid Tuah akan di-bebaskan dari Penjara Pudu tanpa sharat. Hamid Tuah dan penolongnya, Haji Yahaya bin Zainudin telah di-tangkap di-Telok Gong, 14 batu dari Klang pada 12 October tahun lalu kerana enggan meninggalkan kawasan yang mereka dudoki sechara haram bersama 530 orang pengikut2 mereka. Beliau menolak sharat2 pembebasan kapada-nya pada 29 December lalu. Sharat2 itu ia-lah bahawa ia mesti menetap di-Mukim Damansara dan tidak beruchap dalam rapat2 umum atau mengeluarkan kenyataan2 akhbar. Tawaran untok membebaskan Hamid Tuah itu di-buat oleh Sultan Selangor kerana “sebab2 peri-kemanusiaan” supaya ia boleh berhari raya dengan keluarga-nya. Haji Yahaya telah di-bebaskan dengan beberapa sharat yang sama pada 30 December dari Penjara Pudu sebelum Hari Raya lepas.” (Berita Harian, 15 February 1968, Page 1: |"Mahkamah Tinggi na' di-rayu bebaskan Hamid").
1968-02-25: Hamid Tuah dibebaskan dari Penjara Pudu, dengan syarat beliau tidak keluar dari rumahnya di Batu 3 Jalan Kelang, dan tidak berucap di khalayak (“Perintah Sekatan”).
1968-06-24: Menteri Dalam Negeri, Tun Razak, membebaskan Hamid Tuah dari perintah sekatan, setelah disokong oleh Dato Harun dan diyakinkan oleh wakilnya Usman Awang. Di samping itu, pengikut beliau diberi 3 ekar tanah seorang, sebahagiannya di kawasan terokaan mereka dahulu di Teluk Gong: “Tun Razak, sa-laku Menteri Dalam Negeri, telah bersetuju membebaskan Hamid Tuah sama sekali dari perentah sekatan yang telah di-kenakan ka-atas-nya. … Demikian menurut satu kenyataan ibu pejabat Kerajaan Selangor hari ini, yang berbunyi: “Masa'alah peneroka2 tanah di-Telok Gong dan pengikut2 Hamid Tuah telah hampir sempurna di-selesaikan dengan kerjasama pegawai2 Kerajaan dan beberapa individu yang mewakili mereka. … Menteri telah mengambil keputusan ini atas sokongan kuat yang telah di-majukan oleh Dato Harun setelah menemui Enche Usman Awang, salah sa-orang wakil Hamid Tuah yang mempunyai keyakinan Hamid Tuah tidak akan melanggar undang2 Kerajaan. … Hamid Tuah, berumor 49 tahun, telah di-bebas-kan dari Penjara Pudu pada 25 Februari 1968 menjelang Hari Raya Haji setelah kira2 empat bulan di-tahan di-bawah Undang2 Sekatan Tempat Tinggal. Salah satu sharat pembebasan-nya ia-lah bahawa ia tidak boleh keluar dari tempat tinggal-nya di-Batu Tiga Jalan Kelang, 14 batu dari sini dan tidak boleh memberi uchapan. Sementara itu kira2 120 orang pengikut2-nya telah di-berikan tanah di-Sungai Yu - tiap2 sa-orang mendapat tiga ekar. … Sa-bahagian dari pengikut2 Hamid Tuah itu akan mendapat tanah di Telok Gong - tempat mula2 mereka meneroka tanah dahulu.”
(Berita Harian, 25 June 1968, Page 5: "RAZAK BATALKAN SEKATAN2 KA-ATAS HAMID TUAH").