User Tools

Site Tools


haji_tahir

This is an old revision of the document!


Haji Mohamad Tahir (1800-an)

Perihal

Sejarah Penanaman Kopi di Klang

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Klang adalah dimana bermulanya penanaman kopi liberica di Malaysia ataupun pada ketika itu Tanah Melayu. Pada sekitar tahun 1880an, pekebun-pekebun Melayu, Jawa, etnik Sumatera dan Cina telah menanam pelbagai tanaman seperti pinang, keledek, keladi dan gambir secara kecil-kecilan. Semasa Resident Selangor melawat Klang pada 9 Mac 1893, melalui jalan Teluk Melegun (Menegun) beliau mendapati 476 ekar tanaman kopi, 346 ekar kelapa 300 ekar pinang disepanjang laluan tersebut. Jalan tersebut telah dibina oleh Dato’ Dagang pada ketika itu.

Resident kemudiannya telah ke Teluk Pulai dimana beliau mendapati terdapat 81 orang jawa, 35 orang Melayu dan 25 orang Cina terlibat dalam penanaman 67 ekar kopi, 284 ekar kelapa dan 34 ekar pinang. Ketua kampung pada ketika itu adalah seorang lelaki berketurunan Jawa berasal dari Semarang iaitu Hj Latip.

Ini semua telah dilaporkan oleh akhbar Straits Time bertarikh 28 Mac 1893, bertajuk ‘Planting in Klang’. Berita tentang kehebatan Dato’ Dagang yang bernama Hj Tahir pada ketika itu menjadi buah mulut pemerintah Inggeris sehinggakan akhbar-akhbar pada ketika itu memetik kata-kata Resident Selangor seperti berikut,

“An old Resident's report gives exact details of the beginning of coffee in Selangor, and it is striking as showing that the credit for that enterprise must go to Javanese and not to European”. - A Journal in the Federal Capital, The Straits Times, 25 Jun 1932

Bagi Resident tersebut, kredit harus diberikan kepada Hj Tahir (etnik Jawa) atas usaha perniagaan penanaman kopi, bukan orang Eropah. Kerana kejayaan Hj Tahir lah yang telah mendorong ramai peladang Eropah mula datang ke Tanah Melayu dan membuka ladang-ladang. Pada asalnya mereka tertarik dengan penanaman kopi sebelum kemudiannya bertukar kepada penanaman getah.

Cerita tentang kejayaan Hj Tahir ini banyak dilaporkan diakhbar-akhbar seperti The Straits Times, Strait Times Weekly, The Singapore Free Press Mercentile dan Selangor Journal. Mengikut laporan mereka, pada tahun 1887, Hj Tahir seorang Penghulu Dagang beretnik Jawa telah mendapat pinjaman sebanyak $4,000 dari kerajaan. Dengan tanah miliknya sebanyak 95 ekar, beliau telah memajak 700 ekar lagi tanah untuk ditanam dengan pinang, durian, manggis dan kelapa.

Apabila harga pinang jatuh dipasaran, Hj Tahir telah menggantikannya dengan kopi. Beliau dengan beraninya telah membuat sistem perparitan bagi mengeringkan tanahnya untuk penanaman kopi. Ternyata usahanya itu berjaya. Setelah itu beliau telah membahagi-bahagikan tanah tersebut kepada beberapa blok dengan 3 – 5 ekar setiap blok dan disewakan pada harga 50 sen/ekar untuk tanaman kopi kepada orang Cina dan Melayu Dagang. Setelah 7 tahun, ternyata usahanya itu berjaya.

Cerita kejayaan Hj Tahir inilah yang telah menarik minat ramai peladang-peladang Eropah datang ke Tanah Melayu. Sebenarnya orang Inggeris tidak pernah memandang tinggi orang tempatan. Amat jarang sekali mereka memberi pujian yang tinggi dan disebut-sebut di dalam journal maupun akhbar mereka. Tetapi Hji Tahir adalah satu figura orang tempatan yang mendapat pujian tinggi dari mereka.

“Hj Tahir, who with extraordinary energy for a native, has drained his land, and planted up a portion with coffee…” “The land is low and wet, and for a long time it was considered by Europeans that so soon the tree roots of the coffee reached water the tree will died out” – Selangor Notes, The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 21 August 1894.

Sebalik keraguan mereka, Hj Tahir telah membuktikan tanggapan mereka adalah salah dan sebaliknya tindakan beliau telah menjadi satu contoh sehinggakan kerajaan Inggeris ketika itu dengan beraninya melelong tanah-tanah hutan dara di sekitar Selangor bagi tujuan penanaman kopi. Setakat tahun 1895, jumlah keluasan ladang kopi Hj Tahir adalah 3,400 ekar! Kejayaan beliau juga telah menarik lebih ramai peladang mahupun pelombong beralih ke pantai-pantai barat Selangor yang masih lagi dipenuhi hutan dan haiwan liar ketika itu.

Pada awal tahun 1894, sebanyak 3,810 ekar tanah telah dilelong kepada awam pada harga $1 per ekar dengan keluasan setiap blok 259 – 376 ekar di sekitar Jugra.

Hebatnya penanaman kopi pada ketika itu sehingga timbulnya kata-kata “Coffee is King of Klang!”. Semua orang tak kira pekebun kecil mahupun besar gila menanam kopi sehingga disebut sebagai ‘coffee planting craze' seperti yang dilaporkan di dalam “The Fall and Rise of Klang, 1867 – 1900” – JMBRS vol.79, No.1, JM Gullick.

Tetapi akhirnya, kopi mengalami penurunan harga yang teruk pada sekitar akhir 1890an. Ini adalah akibat dari munculnya kopi-kopi dari Brazil. Kopi dari Klang dan Selangor dikatakan semakin teruk kualitinya. Antara sebab yang disyaki adalah perbuatan tidak beretika mencampur-campurkan kualiti kopi di gudang-gudang di Singapura sebelum dieksport.

Siapa Haji Muhammad Tahir bin Hj Mahmud sebenarnya?

Walaupun akhbar-akhbar Inggeris ketika itu mengatakan beliau adalah seorang yang beretnik Jawa, tetapi ada juga rekod yang mengatakan beliau berasal dari Batu Bara Inderapura, Sumatera. Kebiasaannya orang Batu Bara beretnik Melayu Sumatera.

Nama Hj Tahir juga sering disebut-sebut didalam Perang Klang (1867 – 1874) di antara Raja Mahadi dan Tengku Dhiauddin. Beliau dikatakan berasal dari Batu Bara dengan nama asalnya Nonggok. Beliau telah menukar namanya kepada Hj Tahir setelah menunaikan haji di Mekah. Beliau setia berjuang menyebelahi Tengku Dhiauddin mempertahankan Klang sehingga diberi gelaran Dato’ Dagang Klang oleh Sultan Abdul Samad. Dato’ Dagang atau Penghulu Dagang adalah satu pangkat yang diberikan kepada ketua orang Melayu Dagang (etnik melayu yang datang dari luar Selangor). Apakah mereka orang yang sama?

Setelah bertanya-tanya kepada mereka yang arif dan merujuk kepada beberapa buah buku, dapatlah disimpulkan yang mereka adalah orang yang sama. Cuma yang menjadi kekeliruan adalah etnik asal beliau. Jawa atau Melayu? JM Gullick telah menulis tentang Hj Tahir di dalam bukunya yang bertajuk “Tunku Kudin in Selangor 1868 – 1878”. RO Winstedt juga ada menyebut nama beliau di dalam bukunya yang bertajuk ‘A History of Selangor’, kedua-duanya terbitan JMBRAS.

Antara petikan tulisan JM Gullick adalah,

“The Batu Bara Headman, Nonggok (later Hj Tahir) Datuk Dagang of Klang was acknowledged leader of immigrant Malay community in the Klang Valley appears intermittently in the KL story down to the late 1879’s……….. Thereafter he seems to lived at Klang, where he was a pioneer in coffee growing. He died about 1894” – Malay Society in the Nineteenth Century : The Beginning of Change, 1987

Dari petikan ini dapatlah disimpulkan bahawa Hj Tahir perintis kopi dan Hj Tahir yang disebut-sebut didalam Perang Klang adalah orang yang sama. Mungkin beliau seorang yang beretnik Jawa berasal dari Jawa yang telah berhijrah ke Batu Bara, Sumatera. Wallahua’lam.”

(Sumber: Ija Zahri @ Facebook, 19 Mac 2021: "Sejarah Penanaman Kopi di Klang").

haji_tahir.1764580727.txt.gz · Last modified: by sazli